ACL Kecederaan Yang Ditakuti


ACL adalah kecederaan yang paling ditakuti oleh Semua pemain bola sepak, hanya meraka yang pernah mengalami sahaja yang tahu peritnya bila ACL terputus.
Apa itu ACL?
Lutut sebenarnya terdiri daripada 4 ligamen utama:

  • Anterio cruciate ligament (ACL)
  • Posterior cruciate ligament (PCL)
  • Lateral collateral ligament (LCL)
  • Medial collateral ligament (MCL)         
       
          
     Sekarang, anda pasti bertanya: ligamen itu apa pula?
Ligamen adalah tisu fiber yang ‘mengikat’ dua tulang. Apabila dua tulang diikat dengan ligamen, ia akan membentuk sendi.
Ini bermakna, di pergelangan tangan pun ada ligamen. Di siku pun ada ligamen. Di leher dan pinggang pun ada ligamen. Begitu juga dengan lutut.
Jadi ACL ini sebenarnya salah satu daripada 4 ligamen yang mengikat tulang peha (femur), tempurung lutut (patella) dan tulang-tulang keting (tibia dan fibula).
Apa terjadi bila ligamen ini putus?

Terputusnya satu ligamen, ligamen-ligamen anda yang lain akan berisiko besar untuk turut putus.
Malah anda juga berisiko untuk mendapat kecederaan meniscus (tisu yang mengurangkan geseran antara dua tulang di sendi).
Apa terjadi bila ACL putus?
fungsi ligamen adalah untuk mengikat dua tulang lalu membentuk sendi.
Sebagai salah satu daripada 4 ligamen di lutut, tugas ACL adalah mengikat tulang peha (femur) bersama tulang keting (tibia). ACL bertanggungjawab menghalang tulang tibia daripada bergerak lebih daripada 180ยบ.
Bila ACL putus, lutut pemain akan longgar dan kakinya pula akan sakit bila digerakkan ke hadapan.



Ini akan menyebabkan kelincahan pemain merosot. Malah bukan satu perkara ajaib lagi bila melihat pemain yang terkoyak ACL tidak berjaya mendapat prestasinya sebelum terkoyak ACL.
Bagaimana ACL boleh terkoyak?
Biasanya 80% kes kecederaan ACL berlaku tanpa sentuhan dari pihak lain. Jika ada pun, sentuhannya minimal.
ACL terkoyak apabila pemain melakukan pergerakan secara mengejut.
Bayangkan jika kaki anda melekat di tanah dan badan anda pula berpusing secara mengejut. Ketika inilah anda akan mendengar bunyi ‘pop’ dari lutut; isyarat bahawa salah satu daripada 4 ligamen lutut anda terputus.


Mekanisma kecederaan ini selalunya menyebabkan koyakan kepada medial meniscus dan MCL.
Bila ligamen lutut terputus, lutut pemain akan bengkak. Lutut pula tak dapat dibengkokkan lagi. Pemain juga tak dapat berdiri dengan sendirinya.
Tahukah anda kecederaan ACL ada 3 gred?
Kecederaan ACL dapat dibahagikan kepada 3 gred: gred I, II dan II.
Gred I melibatkan lebihan regangan (overstretch) kepada ACL. Tetapi ACL masih tak putus. Pada ketika ini, pembedahan tak perlu dilakukan kerana ACL masih kuat.
Gred II pula melibatkan koyakan sedikit di bahagian ligamen.
Gred III pula bermaksud ACL telah putus sepenuhnya. Pembedahan pembinaan semula ACL akan dilakukan oleh doctor sekiranya ACL telah putus bagi memastikan pemain dapat meneruskan kerjaya mereka.


Apa yang ahli fisioterapi akan lakukan bila jumpa kecederaan ACL?
Bagi kecederaan ACL gred I yang tak memerlukan pembedahan, terapi ais dan latihan kekuatan (strengthening exercises) adalah rawatan yang saya akan buat untuk memastikan pemain dapat cepat sembuh dan kembali menyepak bola.
Untuk pemain yang memerlukan pembedahan, proses pemulihan selepas pembedahan memerlukan masa antara 6-8 bulan.
Selepas pembedahan, pemain wajib melakukan latihan mengikut program yang ditetapkan ahli fisioterapi.



Terapi ais, elektroterapi, hydroterapi dan latihan kekuatan (strengthening exercises) adalah antara terapi yang perlu dilakukan pemain untuk mempercepatkan proses pemulihan.
Selepas pulih, apa langkah seterusnya bagi pemain?
Kecederaan ACL ini boleh berulang sekiranya proses rehabilitasi dijalankan secara tidak betul.
Jurulatih, doctor, ahli fisioterapi, pihak pengurusan persatuan dan keluarga harus memberi dorongan kepada pemain sama ada dari segi sokongan moral dan pengetahuan.
Selain itu, tahap keyakinan pemain juga akan menurun selepas kecederaan ACL. Biasanya mereka akan takut-takut untuk mencabar pemain merebut bola atau menggelecek bola. Barangkali takut lutut mereka ditabrak pemain lawan lagi.
Mereka perlu diberikan masa untuk kembali yakin seperti persembahan mereka sebelum tercedera dahulu.

Comments